"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru di Terengganu didakwa kempen untuk Pas pada PRU15, sebar fitnah ‘murid dipaksa pakai skirt jika PH perintah’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang individu menggunakan akaun Zubaidah Ali mendakwa beberapa guru di Terengganu telah berkempen di dalam kawasan sekolah untuk menyokong Pas ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu .

Dakwaan itu antara lain menyebut bahawa terdapat beberapa guru memberitahu para pelajar supaya ibu bapa menyokong Pas kerana jika tidak, mereka akan dipaksa memakai skirt jika Pakatan Harapan memerintah negara.

Wanita itu berkata, dia memperoleh informasi itu hasil maklumat daripada beberapa ibu bapa kepada murid yang bersekolah di sana.

Atas pendedahan itu katanya, dia juga berani menyenaraikan nama guru dan di sekolah mana guru-guru berkenaan mengajar.

Selain itu, guru berkenaan didakwa menggunakan peranan sebagai pendidik untuk mempengaruhi murid bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ejen yahudi dan mendakwa azan tidak akan dibenarkan lagi.

“Saya telah mendapat maklum dari beberapa orang ibu bapa bahawa terdapat beberapa orang guru telah berkempen untuk Pas antaranya berkempen seperti memberitahu murid-murid supaya ibu bapa undi Pas.

“…dengan alasan antaranya, jika PH perintah Malaysia murid dipaksa pakai skirt. Azan tidak dibenarkan. Anwar pro cina, boneka DAP

“…..Anwar agen yahudi dan kristian. Gaji kakitangan kerajaan akan dipotong. Kristian dijadikan agama rasmi. Bantuan sekolah akan dihapuskan

“(Selain itu fitnah disebar mengatakan) Anwar Ibrahim perangai kurang baik. Anwar akan menyekat akitiviti dakwah dan tidak akan menolong orang-orang Melayu,” kata Zubaidah Ali yang difahamkan merupakan Pengarah Komunikasi Wanita PKR negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Zubaidah menyeru dan merayu kepada Menteri Pendidikan di bawah Kerajaan Perpaduan untuk menjalankan siasatan dan pemantuan.

Dia juga menggesa agar diambil tindakan segera selain mengenalpasti guru-guru yang menjadi tali barut kepada Pas.

Tindakan ini katanya bukan untuk mengugut dan berdendam, tetapi sikap guru yang tidak mengamalkan demokrasi secara sihat perlu dihentikan secepat mungkin.

“Saya boleh senarai nama guru dan di sekolah mana mereka mengajar dan berkempen untuk Pas.

“Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) pada tahun 2023 akan diadakan. Sudah pasti guru-guru Penyokong kuat Pas di Terengganu sekali lagi akan berperanan dan berkempen supaya ibubapa murid-murid pengundi Pas.

“Jika perlu guru-guru berkenaan perlu diambil tindakan segera termasuk menukarkan mereka ke sekolah-sekolah di luar Terengganu.

“Fikir-fikirlah wahai menteri pendidikan supaya guru tidak terjebak dalam politik yang kurang sihat,” katanya lagi.

Tiada ulasan: