"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM Anwar pertegas usaha pulangkan semula kekayaan negara yang dipunggah kepada rakyat

ARIF ATAN

Menjelang beberapa jam lagi Tahun Baharu 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pentingnya berbilion ringgit kekayaan negara yang dipunggah dipulangkan semula kepada rakyat.

Dalam amanat khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.

“Ada mengatakan harus move on. Kalau ada kesan peribadi kepada saya, malah saya maafkan, kalau berterusan tentu saya akan ambil tindakan.

“Tetapi yang memberi kesan kepada rakyat bukan kuasa PM untuk melepaskan…,” tegasnya sempena program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan turut menempelak sikap pihak pemimpin pembangkang tertentu yang menyerang beberapa pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, tugas menghentikan amalan pemunggahan kekayaan negara ini bukan bermotifkan politik kepartian ketika ramai rakyat berdepan dengan masalah kewangan.

“Rakyat biasa dapat upah RM40 pun sukar, maka kita tidak akan izinkan yang mendapat RM4 juta satu hari memunggah kekayaan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar mengingattkan bahawa rakyat juga dalam masa sama harus bersama Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kekayaan yang begitu besar dipunggah dikembalikan.

“Ini tugas bersama, tugas umat dan rakyat Malaysia bukan politik kepartian. Kita harus ada tekad yang jelas,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun mengakui sedar bahawa usaha memusatkan perhatian kepada rakyat dan memerangi rasuah bukannya mudah.

“Saya mengajak saudara-saudara selesai pilihan raya, kita harus menguatkan perpaduan… Bersatu itu untuk tujuan yang murni.

“Biar matlamat untuk mendapat berkat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia dan hamba Allah.

“Walaupun saya tidak nafikan kegetiran kesihatan mahupun ekonomi tetapi saya yakin insyaAllah dapat ditangani jika kita ada sikap positif membawa perubahan melibatkan pimpinan politik, penguatkuasaan, penjawat awam dan rakyat,” tambahnya lagi.

Bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengakhiri amanatnya dengan menyebut konsep ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur’ yang bermaksud negara baik lagi mendapat keampunan Allah SWT.

Tiada ulasan: