"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa pencabar Zahid?

Mohsin Abdullah

Andainya jawatan presiden dipertandingkan pada pemilihan Umno tahun depan adakah Zahid Hamidi akan mempertahankannya? Hampir pasti ya. Maka persoalan seterusnya adakah beliau akan dicabar? Jika iya siapakah pencabarnya?

Sebelum itu, persoalan yang tidak kurang penting ialah mengapa Zahid perlu dicabar, selain alasan lazim ‘menjunjung amalan demokrasi’?

Menurut desas-desus, sebab utama ialah kerana strategi beliau untuk Umno menghadapi PRU15 dikatakan telah mengakibatkan Umno kalah teruk. Maksudnya senjata makan tuan. Tak kiralah orang Umno yang berkata demikian turut angguk kepala apabila Zahid mengorak langkah pra-pilihan raya, malah ada yang menyatakan sokongan secara terbuka.

Lupakan itu. Berbalik persoalan besar – siapa yang mahu atau akan cabar Zahid untuk merebut jawatan presiden Umno?

Perlu diingat sebagai penyandang, Zahid mempunyai kelebihan. Apatah lagi beliau kini timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah. Itu bak kata Inggeris, “carry a lot of weight”.

Penyokong beliau kerap mengingatkan khalayak bahawa Zahid telah menjaga dan membina semula Umno “‘time’ susah dulu”, semasa Umno-BN tumbang pada PRU14 yang memaksa Najib Razak melepaskan jawatan presiden. Pasti ahli Umno akan terus menerus diperingat akan ‘jasa Zahid’ ini. Dalam perkataan lain ini akan dijadikan modal kempen.

Oleh itu siapakah yang mampu berdepan kelebihan Zahid dan menentangnya?

Tak mungkin Mohamad Hasan mahu ‘lawan towkay’. Pemerhati dan penganalisis politik berpendapat Tok Mat selesa di jawatan nombor dua parti dan rasa senang bersama Zahid dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan selaku menteri pertahanan.

Annuar Musa bekas setiausaha parti dan Shahidan Kassim bekas orang kuat Umno Perlis dikatakan seteru yang mahu lihat Zahid disingkirkan, tetapi kedua-duanya sudah berada di luar Umno – seorang disingkir, seorang lagi tersingkir dengan sendirinya. Jika mereka masih dalam Umno sekali pun, belum tentu mereka mencabar presiden parti. Peluang mereka mengalahkan Zahid boleh dikatakan mustahil. Sekarang penyokong mereka yang masih dalam Umno mungkin diharapkan membantu sesiapa yang mencabar Zahid kelak. Itulah yang paling hebat yang boleh mereka lakukan namun jumlah mereka tidak dapat ditentukan, begitu juga tahap keberkesanan mereka.

Sinar Daily memetik penganalisis berkata tidak ada “contender” kuat yang boleh mencabar Zahid. Antaranya yang ditemubual portal berita tersebut ialah Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari UIAM. Nik Ahmad dipetik berkata beliau tidak nampak sesiapa yang boleh mencabar apatah lagi mengganti Zahid sebagai presiden Umno.

Bagaimanapun beliau menamakan tiga pemimpin kanan yang boleh mencuba nasib, termasuk Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan ketua pemuda semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden dulu, iaitu menantu beliau, Khairy Jamaluddin.

Saya akui Ismail tidak boleh dipandang remeh. Lihat sahaja keputusan pertandingan naib presiden pada pemilihan 2018. Beliau muncul pemenang teratas diantara tiga naib presiden yakni dengan jumlah undi paling banyak. Hanya seorang yang mempunyai “networking” dan sokongan padu akar umbi boleh melakukan itu.

Namun apabila menjadi perdana menteri, prestasinya tidak menyerlah malah dilihat orang Umno sebagai lemah. Ini akan sangat menyulitkan jika beliau mencabar Zahid untuk jawatan presiden.

Khairy atau KJ memang diakui berkebolehan dalam Umno dan ketika menjadi anggota Jemaah Menteri Muhyididn Yassin dan Ismail dahulu. Tetapi sejak kalah PRU15 tidak dapat dipastikan sejauh mana kekuatannya dewasa ini.

Imbas kembali pemilihan Umno 2018. Khairy bertanding jawatan presiden dalam perlawanan tiga penjuru membabitkan Zahid dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li. Zahid menang, tetapi tim Ku Li mendakwa Khairy ibarat kacau daun. Jika perlawanan satu lawan satu menurut mereka lain ceritanya. Tim KJ pula mendakwa Ku Li lah yang kacau daun.

Sebenarnya ada dua lagi calon tetapi tidak dapat sebarang undi. Untuk rekod Zahid mendapat 99 undi, KJ 61, Ku Li 30. Seorang lagi pencabar untuk pertandingan presiden kali ini, yang Nik Ahmad kata boleh cuba nasib, ialah Hishamuddin Hussein. Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, dipetik berkata ada khabar angin kononnya Hishammuddin berpeluang mencabar Zahid tetapi keadaan samar-samar sehingga kini.

Hakikatnya, menurut beliau, keadaan masih tidak jelas siapa yang akan menentang Zahid.

Bercakap mengenai Hishammuddin, ramai dalam Umno masih ingat waktu Umno-BN tumbang pada PRU14, Hishammuddin yang ketika itu memegang jawatan naib presiden mengumumkan tidak mahu bertanding sebarang jawatan peringkat pusat pada pemilihan parti 2018.

Walaupun beliau mendakwa mahu bekerja keras untuk bantu semula Umno “bermula di Johor”, langkah beliau tidak mahu bertanding waktu itu dilhat sebagai ‘menjauhkan diri’ daripada parti dan ‘lepas tangan’ dalam keadaan Umno sedang susah.

“Bila Umno pulih, dia datang mengendeng pada waktu senang,” kata sumber yang rapat dengan Zahid. Ini akan menghantui Hishammuddin jika beliau cuba merebut jawatan presiden Umno.

Selain itu, Hishammuddin juga rapat dengan Azmin Ali (bekas presiden PKR yang sekarang naib presiden Bersatu), sesuatu yang majoriti orang Umno ‘tidak berkenan’.

Zahid nampaknya dalam keadaan selesa. Tetapi seperti kita tahu dalam politik semua boleh terjadi. Politik serba kemungkinan. Zahid semalam dikhabarkan berkata perwakilan Umno akan memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan kali ini.

Apa pun kata beliau pemilihan parti mungkin dipercepatkan. Umno perlu melangsungkan pemilihan paling lewat Mei 2023 bagi memenuhi syarat tempoh enam bulan selepas PRU15. Kata beliau, semua 191 Umno bahagian akan mengadakan persidangan serentak pada hari yang sama di seluruh negara dan mengadakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat pada ketika itu.

“Ertinya tidak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti, ia mungkin diadakan awal. Kita kena ingat bahawa 22, 23 Mac masuk Ramadan, lepas itu Syawal, lepas itu bulan haji; jadi jangan fikir tentang banyak-banyak, jangan pusing-pusing kepala,” begitu kata Zahid.

Macam konfiden je nampak.

Tiada ulasan: