"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita koma dipukul penyamun

Bernama

GEORGE TOWN: Seorang wanita parah di bahagian muka dipercayai dipukul seorang lelaki dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual penapis air di Jelutong, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata mangsa berusia 50-an kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih tidak sedarkan diri kerana kecederaan parah.

“Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah datang ke kedai wanita tersebut dan suspek memaklumkan mahu bertemu dengan suami mangsa namun suaminya tiada di kedai ketika itu..


“Sebaik dimaklumkan suami wanita itu tiada, suspek bertindak memukul mangsa dipercayai menggunakan senjata tumpul sehingga wanita tersebut cedera parah di bahagian muka sebelum dia menyamun wang tunai sebanyak RM2,000,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, susulan kejadian polis menahan seorang lelaki di daerah Timur Laut sehari kemudian untuk membantu siasatan dan suspek direman mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kedai itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan kerana setakat ini pihaknya belum dapat merekodkan keterangan mangsa ekoran wanita tersebut masih belum sedar.

Tiada ulasan: