"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya.

Difahamkan lawatan itu susulan tindakan Telekom Malaysia (TM) melepaskan kawalan Menara Kuala Lumpur, lokasi tumpuan pelancong yang menguntungkan, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali.

Menurut sumber-sumber, SPRM mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

“Beberapa pegawai kementerian juga ditemu bual,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Ketua Pesuruhjaya SPRM  Azam Baki berkaitan perkara itu.

SPRM semalam memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10 juta unit saham TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Menara KL.

SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan 100 peratus sahamnya itu pada Oktober lalu.

Minggu ini, isu penjualan saham itu didedahkan dan dipertikai di media sosial kerana syarikat itu sangat menguntungkan dan pembelinya yang tidak dikenali.

TM memberi alasan mahu menumpukan kepada perniagaan teras iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Menteri bertanggungjawab sebelum ini Annuar Musa berkata dia tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan: