"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Bye bye, Zuraida Kamaruddin”

K PRAGALATH

Pada 27 Disember 2022, mantan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin bersama ahli-ahli yang sehaluan dengan beliau dipecat dari Parti Bangsa Malaysia oleh presiden parti, Larry Sng.

Pemecatan ini dibuat ekoran daripada kemelut perebutan kuasa di antara Sng dan Zuraida. Ia juga berpunca dari tindakan Zuraida menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pimpinan Tan Sri Annuar Musa, Muafakat Nasional (MN).

Selain Zuraida, pemimpin lain yang turut dihambat keluar dari parti tersebut ialah pemimpin seperti mantan Adun Lembah Jaya, Haniza Talha dan anggota NGO Penggerak Komuniti Negara – NGO pimpinan Zuraida.

Kemelut di atas sebelum PRU15 ketika parti tersebut bercadang menyertai Barisan Nasional namun permohonan tersebut gagal direalisasikan. Pasca PRU, Sng menyokong kerajaan pimpinan Anwar meskipun laporan media melaporkan pendirian itu tidak diputuskan oleh jawatankuasa pusat PBM.

Begitu cepat sekali hukum gerakan Newton bertindak dalam kerjaya politik Zuraida.

Hukum gerakan Newton ketiga menyatakan bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas pada magnitud sama dari arah bertentangan.

Beliau terlibat dalam Langkah Sheraton yang meranapkan kerajaan Pakatan Harapan. Dua tahun yang lalu, secara tepatnya 25 Februari 2020 beliau mengucapkan selamatkan tinggal kepada partinya yang pertama – PKR apabila beliau dipecat bersama mantan timbalan presiden PKR – Azmin Ali.

“Bye bye PKR”, katanya bersama sekumpulan anggota yang turut dipecat. Ekoran itu beliau bersama Azmin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mana beliau turut dilantik menjadi ahli majlis tertinggi.

Ia satu kejanggalan kerana beliau berpindah dari parti pelbagai kaum ke parti eka kaum pada 9 Mac 2020. Kehadirannya di dalam Bersatu tidak lama dan hayat politiknya turut terjejas apabila beliau berbeza pandangan dengan Azmin yang kekal di dalam Bersatu. Pada 12 Mei 2022, beliau dipecat dari Bersatu kerana penglibatannya dalam membentuk PBM. Sebulan selepas itu beliau menyertai PBM dengan harapan menjadi presiden parti.

Kerjaya politik Zuraida bermula di dalam PKR di mana beliau bukan saja menjadi ketua wanita PKR yang pertama malah jawatan tertinggi yang disandang beliau ialah naib presiden.

Di dalam parti ketika itu, beliau penyokong kuat Azmin. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peranan beliau mirip kepada peranan Tan Sri Rafidah Aziz dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin negara sebagai perdana menteri keempat Malaysia.

Beliau juga menjadi Ahli Parlimen Ampang selama tiga penggal iaitu sejak PRU ke 12 dalam tahun 2008 bilamana gelombang Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan negeri di empat buah negeri termasuk Selangor.

Apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan buat kali pertama, penyokong kuat Azmin ini turut sama dilantik menjadi ahli kabinet. Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiadeen Yassin, Zuraida menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau menjadi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida turut bertanding di dalam PRU15 untuk mempertahankan kerusi Ampang tapi kecundang di bawah PBM. Ada pengajaran penting di sini.

Untuk membangun di dalam politik, individu perlu mendapat sokongan jentera parti yang lancar. PBM baru setahun jagung dan aura kepimpinan individu seperti Zuraida tidak memadai untuk menambat pengundi. Ini kerana rakyat mengundi untuk parti, bukan individu.

Apakah akan ada kemungkinan Zuraida membuat satu “political comeback”? Ada kemungkinannya sekiranya MN bertukar menjadi parti politik tetapi itu juga bergantung kepada samada para pengundi akan memilih Zuraida dan MN. Hanya masa akan menentukannya.

Buat masa ini, kita boleh mengucapkan “bye bye Zuraida Kamaruddin”.

Tiada ulasan: