"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukan Penyokong PH Pun Sama Ghairah Mahu Berebut Ghanimah

Shahbudin Husin 

Minggu-minggu kebelakangan ini, terutama selepas perlantikan menteri-menteri, keghairahan terbaru yang terlihat begitu menonjol ialah munculnya golongan tertentu yang tidak segan-segan menawarkan diri mahu berkhidmat dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sasaran mereka bukan saja untuk mengetuai agensi tertentu yang berpengaruh di Putrajaya, malah juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan tidak kurang pula yang ingin berkhidmat secara langsung di pejabat Perdana Menteri.

Termasuk yang sama ghairah lagi lincah untuk berebut jawatan dan ghanimah atau “harta rampasan perang” itu ialah mereka yang sebelum ini memang diketahui tidak pernah menyokong serta terang-terang menolak Anwar.

Mereka itu sebelum PRU15 lalu secara terbuka menunjukkan kecondongan kepada parti selain PH, malah dengan berani mengatakan Anwar tidak mungkin berjaya jadi Perdana Menteri.

Jika sudah begitu kecondongannya, sudah tentulah mereka terbabit juga tidak memberi undi kepada PH.

Tetapi kini mereka itulah antara yang sama ghairah menonjol-nonjolkan diri dan melobi untuk mendapatkan kedudukan mengetuai agensi tertentu kononnya dengan kemampuan, kewibawaan dan “bersihnya” diri mereka itu akan membantu Anwar menjelmakan sebuah kerajaan yang lebih baik di mata rakyat.

Untuk mengetuai agensi kerajaan tertentu, selain ia adalah hak mutlak Anwar selaku Perdana Menteri membuat pilihan, adalah penting untuk beliau menyemak dengan teliti latar belakang calon yang mahu dilantiknya itu.

Orang yang mahu dilantik itu biarlah mereka yang benar-benar berwibawa, bukan yang suka membawa-bawa atau menjaja penonjolan diri sendiri serta sekurang-sekurangnya memahami aspirasi reformasi yang mahu diusahakan dalam kerajaan.

Tidak terkecuali ingin sama merebut peluang menikmati ghanimah ialah mereka yang selama ini tidak diketahui kecondongan politiknya dan tidak pernah namanya muncul di mana-mana.

Aduhhh…agak-agaknya kalau orang lain jadi Perdana Menteri, adakah mereka akan melobi dan menonjol-nonjolkan diri juga?

Bagi jawatan lain seperti pengerusi GLC, di pejabat menteri dan sebagainya, adalah lumrah bagi mereka yang menyokong, bersama, mengundi dan setidak-tidaknya turut sama mengeluarkan peluh untuk membantu kemenangan PH serta Anwar pada PRU15 lalu untuk mengharapkan jawatan tersebut jatuh menjadi milik mereka.

Ketika UMNO dan BN menerajui kerajaan sebelum ini, itulah yang berlaku dan ia sebahagiannya membantu mengukuhkan kedudukan parti tersebut sehingga berjaya menjadi kerajaan lebih 60 tahun lamanya.

Ketika PN, Bersatu dan Pas berada dalam kerajaan, amalan yang sama turut berterusan.

Pokoknya, bukanlah sesuatu yang pelik, ganjil atau luar biasa jika kali ini penyokong PH pula menikmati jawatan serta kedudukan dalam kerajaan.

Hakikatnya, mereka yang bersusah payah, memberi sumbangan kepada kemenangan dan turut mengundi PH adalah lebih berhak memperolehi sedikit sebanyak bahagian daripada ghanimah itu, malah dengan jawatan serta kedudukan tersebut, mereka akan lebih berperanan memastikan kemenangan PH pada PRU lima tahun akan datang.

Yang tidak menyokong, tidak mengundi dan terang-terang menolak PH hendaklah duduklah diam-diam di tepi dulu buat sementara waktu.

Bagilah laluan dahulu kepada penyokong, pengundi dan mereka yang memang bersama PH untuk memperolehi apa yang sewajarnya, sesuai dengan pengorbanan dan tungkus lumus mereka selama 24 tahun ini.

Namun demikian, asas kelayakan, kemampuan dan kebolehan dalam lantikan semua jawatan itu tidaklah harus diketepikan atau diabaikan begitu saja.

Tetapi, mereka yang bersalin kulit dengan menonjol-nonjolkan diri sambil berwajah manis serta sanggup melobi secara berlebihan itu adalah mereka yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri saja sebenarnya.

Mereka bukan pun ingin membantu Anwar mengisi perjuangan reformasi kerana siapa pun parti dan pemimpin yang naik, mereka sentiasa sanggup menebalkan muka untuk mengejar apa yang dihajati. – ShahbudinHusin 27/12/2022.

Tiada ulasan: