"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Langkah Tapah’: Mutalib sebagai pengerusi Perak, gantung keahlian 3 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mutalib Uthman digugurkan sebagai pengerusi Muda Perak serta digantung keahlian selama tiga tahun berkuat kuasa 27 Disember.

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan itu susulan perlakuan Mutalib melanggar arahan dan disiplin parti.

Antara kesalahan dilakukan Mutalib ialah menaikkan poster di akaun media sosial peribadi dan Muda Perak untuk mengumumkan bertanding di Parlimen Tapah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tanpa persetujuan parti.

“Beliau didapati telah meminta akses akaun rasmi Muda Perak dan menukar kata laluan, yang menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti.

“Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata keputusan ke atas Mutalib dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda yang bersidang 17 Disember lalu selepas menerima laporan daripada Lembaga Disiplin parti itu.

“Sebarang keputusan rayuan…akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.

Mengulas keputusan Muda mencalonkan Mutalib di Parlimen Masjid Tanah pada PRU15, Amir berkata ia dibuat sebelum pelanggaran arahan parti berlaku.

“Kerusi Masjid Tanah yang beliau tandingi dalam PRU-15 sememangnya sedang diusahakan jawatankuasa terlibat, sebelum pun beliau mengeluarkan poster tersebut. Justeru ia diteruskan disebabkan masa yang singkat, dan beliau diletakkan sebagai calon,” katanya.

Oktober lalu, Mutalib membuat kejutan dengan mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah.

Bagaimanapun, kenyataan itu segera dinafikan kepimpinan Muda yang menyatakan parti itu komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan PH.

Sehari kemudian Mutalib tampil membuat permohonan maaf dan mengesahkan kerusi Tapah milik PKR.

Dalam perkembangan lain, Amir memaklumkan Muda turut menerima surat peletakan jawatan Pengerusi Muda Pahang Malani Manimaharan serta Pengerusi Muda Pulau Pinang Jazz Tan. Jawatan itu akan dipangku individu lain.

Tiada ulasan: