"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nazri Aziz bidas Mahathir isu ragui keupayaan PM Anwar

REDZUAN SHAMSUDIN

Kritikan yang dilemparkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang meragui keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir ditegur bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri menasihatkan Tun Mahathir pada usia senjanya supaya tidak lagi memperlekehkan kemampuan orang lain setelah kegagalannya sebagai PM kali kedua pada 2018 hingga 2019 lalu.

Apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kalah teruk di semua kerusi yang ditandingi.

“Masa beliau (Mahathir) sudah berlalu. Cukup-cukuplah. Beri peluang kepada Anwar untuk memimpin dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa lagi beliau mahu? Sudah kalah teruk dan hilang wang deposit di Langkawi baru-baru ini. Semua calon parti dia kalah dan hilang deposit, sudahlah, cukup. Bantu pemimpin muda pulihkan ekonomi negara,” kata Nazri dipetik.

Nazri menyifatkan Mahathir sebagai diktator yang tidak akan beri kuasa kepada orang lain.

Sebelum ini, Mahathir dalam temu bual dengan sebuah akhbar tempatan menyatakan kebimbangannya mengenai kemampuan Anwar berdepan krisis kemelesetan ekonomi serta cabaran pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Mahathir membawa hujah 24 tahun lalu kononnya, Anwar gagal mempertahankan ekonomi negara dalam krisis matawang Asia dan mengikut telunjuk Bank Dunia.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga menuduh Anwar gagal sebagai pemangku Perdana Menteri ketika beliau bercuti pada 1997.

Mengulas lanjut, Nazri membidas dakwaan Mahathir itu dan berpendapat meskipun Anwar memangku jawatan PM pada waktu itu tetapi beliau tidak diberi kuasa PM.

“Saya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan bercakap dengan Anwar, beliau tidak mempunyai kuasa biarpun ditugaskan sebagai pemangku Perdana Menteri.

“Benar, Dr Mahathir bercuti di luar negara, tetapi beliau tetap mengawal pentadbiran negara dan bukannya memberi kuasa kepada orang lain.

“Semua orang tahu dan anggap Dr Mahathir sebagai diktator, beliau tidak akan beri kuasa kepada orang lain, cakap ‘beri kuasa’ itu semua menipu.

“Jadi, macam mana Anwar mahu selesaikan masalah kalau tidak diberi kuasa, masih dikawal pihak lain?” soal Nazri lagi.

Justeru, Nazri mahu Tun Mahathir menghentikan segala serangan sekiranya tidak mahu terlibat dalam membantu usaha memulihkan ekonomi negara.

Tiada ulasan: