"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisa politik pulangkan paku buah keras Wan Saiful


K PRAGALATH

Penganalisa politik Dr Awang Azman Awang Pawi menangkis serangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya gagal menangani kos sara hidup rakyat.

Bagi pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) itu, masih terlalu awal untuk menilai kejayaan atau kegagalan pentadbiran PM 10 kerana beliau belum pun melepasi tiga bulan tempoh perkhidmatan.

“Anwar baru sebulan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Beliau sudah mengumumkan bantuan kewangan untuk pesawah, penangguhan kenaikan tarif elektrik dan pembentukan jawatankuasa untuk mengkaji perkara ini (kos sara hidup).

“Saya difahamkan bahawa menteri mempunyai sesi libat urus dengan kementerian dan pihak lain,” katanya.

Beliau menambah bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan Kerajaan Perpaduan kerana pembangkang yang mengkritik itu juga adalah kerajaan sebelum ini yang telah diberi tempoh lebih setahun tetapi tidak mampu menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan sekarang mewarisi perkara-perkara kerajaan terdahulu. Mengapa mereka tidak menangani perkara ini? Adalah kurang adil untuk menyalahkan Anwar dan kerajaan sekarang,” tegasnya.
Semalam, Wan Saiful mengkritik pentadbiran Anwar yang dikatakan gagal menangani kenaikan kos sara hidup meskipun Anwar telah memberi tempoh dua minggu sejak 27 November untuk kementerian berkaitan memberikan cadangan mereka.

Justeru, Wan Saiful menganggap bahawa kerajaan pimpinan Anwar ditubuhkan demi cita-cita peribadi manakala nasib rakyat tidak diendahkan.

Sementara itu, seorang lagi penganalisa politik, profesor pengajian Asia dari Universiti Tasmania, Dr James Chin turut memulangkan paku buah keras kepada Wan Saiful.

“Masalah ini diwarisi dari kerajaan terdahulu sebelum era Anwar. Kerajaan yang ada pun masih baharu.

“Mengapa mereka tidak menanganinya ketika berkuasa?” soalnya merujuk kepada tempoh 17 bulan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tiada ulasan: