"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalis: PAS boleh tumbang jika calon MB BN tiada beban

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Barisan Nasional (BN) mampu menang pada pilihan raya negeri di Kedah, Kelantan, dan Terengganu selagi mana calon menteri besar diketengahkan tidak menanggung sebarang beban politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, memberitahu FMT beliau yakin penting bagi Umno yang menjadi tonggak BN menyenaraikan calon menteri besar secepat mungkin.

“Cukup kritikal untuk meraih kepercayaan pengundi di tiga negeri terbabit yang merupakan kawasan majoriti Melayu, bahawa kepentingan mereka terpelihara,” katanya.

Azmi berkata, penting bagi calon menteri besar BN dalam kalangan “kuat dan disenangi” untuk merampas tiga negeri itu daripada cengkaman PAS.

Beliau berkata, veteran politik dalam Umno sepatutnya memberi laluan kepada calon baharu yang berpengalaman.

“Parti itu perlu menamakan muka baharu berpengalaman dalam mentadbir dan bukannya terikat dengan beban politik Umno,” katanya.

“Juga baik memilih teknokrat seperti menteri besar Terengganu ketika ini Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Terpulang kepada Umno untuk menyakinkan pengundi yang parti itu serius ingin mendapatkan kembali tiga negeri berkenaan.”

Kedah, Terengganu, dan Kelantan merupakan kubu kuat PAS. Parti itu sudah memerintah Kelantan lebih tiga dekad.

Pada Ahad, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, berkata Pakatan Harapan condong membuka laluan kepada BN mencalonkan jawatan menteri besar di tiga negeri itu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, menafikan apa diperkatakan Khalid memandangkan beliau tidak berada dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, selain perkara itu belum dibincangkan.

Seorang penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata pemilihan menteri besar dari BN bukan satu kejutan memandangkan Perikatan Nasional merupakan pencabar utama di tiga negeri terbabit.

“Ia adalah keputusan strategik dan realistik untuk memberi laluan kepada BN bagi jawatan itu,” katanya. “PH tidak dilihat mempunyai pengaruh besar di tiga negeri berkenaan.”

Kedah, Kelantan, Terengganu, dan negeri dikuasai Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Selangor mesti mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh empat bulan mendatang.

Minggu lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong, berkata rundingan kerusi akan dimuktamadkan parti dalam kerajaan perpaduan pada pertengahan April.

Tiada ulasan: