"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH condong beri BN terajui di 3 negeri pimpinan PAS

Malaysiakini

Pakatan Harapan (PH) lebih condong untuk membiarkan BN menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri akan datang, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Menurutnya, calon untuk jawatan menteri besar akan dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat antara parti-parti PH akan datang.

“Itu tidak boleh dinafikan, calon menteri besar di Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri di Pulau Pinang kita akan kekalkan pada penyandang.

“BN tidak banyak kerusi, jadi mereka kena terima hakikat.

“Tetapi calon menteri besar di tiga negeri lain itu mungkin kita akan berunding, kemungkinan ia lebih condong untuk diberi kepada BN,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Khalid, kepimpinan PH masih mahu meneliti calon-calon berkenaan dan pemilihan tersebut mesti dibincang dan dirundingkan bersama.

Pilihan raya di enam negeri itu dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Ketika ini, PAS menerusi gabungan Perikatan Nasional menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah - manakala PH pula mentadbir di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Pilihan raya negeri akan menjadi ujian sebenar pertama mereka sejak bekas seteru PH, BN bekerjasama berikutan keputusan PRU15.

Menurut Khalid, majoriti penyokong PH menerima alasan mengapa mereka kini bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Memang saya rasa kebanyakannya pada peringkat awal, ada rasa begitu, tidak begitu seronok, tetapi sekarang saya lihat ramai sudah memahami kenapa kita bentuk kerajaan bersama dengan BN, kerana kita tiada pilihan lain.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) pun buat perkara yang selari dengan kehendak pengundi. 

“Lawan rasuah dan monopoli kartel, setakat ini pengundi PH boleh terima. Tetapi mahu tengok pengundi Umno boleh sokong PH atau tidak, kita tunggulah,” katanya.

Tiada ulasan: