"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak 11 tahun maut ditetak rakan bapa tiri

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian kanak-kanak maut ditetak oleh rakan bapa tirinya di perumahan pekerja di Felda Sahabat 30, Lahad Datu. (Gambar kecik) suspek dikenali Paulus Poka Lolo diburu. FOTO Ihsan polis
LOKASI kejadian kanak-kanak maut ditetak oleh rakan bapa tirinya di perumahan pekerja di Felda Sahabat 30, Lahad Datu. (Gambar kecik) suspek dikenali Paulus Poka Lolo diburu. FOTO Ihsan polis
Lahad Datu: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh rakan kepada bapa tiri di depan rumahnya di Perumahan Pekerja Felda Sahabat 30, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kanak kanak lelaki warga asing itu ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.

"Terdapat kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta tapak tangan kiri mangsa putus.

"Polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohan berkata, siasatan mendapati suspek adalah rakan bapa tiri mangsa dan melarikan diri selepas kejadian.

"Motif kejadian belum dikenal pasti. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati," katanya.

Sementara itu, Rohan meminta kerjasama daripada orang ramai terutama masyarakat di sekitar Felda Sahabat, untuk menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek di balai polis berhampiran atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, Asisten Superintendan Kharuddin Husain di talian 013-9071709.

Tiada ulasan: