"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi tak hadir Dewan Rakyat kerana uzur

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak hadir ke Dewan Rakyat hari ini kerana masalah jantung dan beberapa penyakit lain, kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Menurut Hashim, Hadi yang ketika ini berada di Terengganu turut mendapat nasihat doktor supaya tidak “berjalan jauh”.

“Dia uzur syarie, dia sakit banyak…dia (juga) ulang alik IJN (Institut Jantung Negara), macam-macam sakit. Doktor nasihat dia supaya tidak berjalan jauh,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketiadaan Ahli Parlimen Marang itu pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.

Hashim berkata, disebabkan penyakit dialami Hadi, mesyuarat Majlis Syura PAS juga terpaksa ditangguhkan.

“Perkara ini dimaklumkan oleh setiausaha politik dia, Majlis Syura nak buat mesyuarat, dia tak dapat tetapkan tarikh, bila tarikh tu…aktiviti parti pun banyak tertangguh, yang sepatutnya dia hadir dia tak dapat hadir,” katanya.

Katanya, walaupun berdepan masalah kesihatan, Hadi tetap aktif menulis menyebabkan “dia tidak nampak seperti sakit”.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hadi tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat sepanjang minggu ini.

“Dia MC (cuti sakit) selama empat hari, kesihatan beliau tidak mengizinkan hadir minggu ini,” katanya.

Tiada ulasan: