"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa walaun perlu berhenti mengeji?

Harapandaily

Tidak berkesudahan pembangkang terutamanya penyokong Pas atau mesra dipanggil walaun memperlekehkan kerajaan Madani malah mengeji Perdana Menteri.

Padahal, dalam penegasan memerangi genosid dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa menjadi Duta Khas ke Timur Tengah pun tidak selantang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin baru-baru ini, Perdana Menteri membidas kegagalan negara-negara Barat untuk bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Ucapan Anwar di Jerman hangat diperkatakan di seluruh dunia lantaran teguh mempertahankan Palestin dan mengkritik hipokrasi Barat mengenai genosid dilakukan Zionis Israel.
Pemimpin Muslim ke-11 paling berpengaruh di dunia itu tegas mengkritik sikap “selektif” mereka terhadap kekejaman di Palestin yang telah berlarutan tujuh dekad.

Tidak hairanlah pendirian teguh Anwar memperjuangkan keadilan Palestin meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

Di Malaysia, ahli akademik dan agamawan juga memuji kelantangan Perdana Menteri mempertahankan hak rakyat Palestin di hadapan pemimpin Barat.

Sidang media PMX bersama Scholz pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, Berlin, Jerman pada 12 Mac lalu.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, kredit patut diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun berbeza politik kepartian.

“Sehingga hari ini bacaan Qunut Nazilah masih berjalan kerana peperangan di sana (Palestin) masih belum berakhir.

“Kita juga kena beri kredit kepada Perdana Menteri yang sangat berani memberi pandangan yang lantang terhadap saudara kita di Palestin.

“Mungkin kita ada perbezaan sedikit tentang perkara atau pandangan beliau yang lain dalam politik tetapi dalam mempertahankan hak Palestin, sepatutnya kita beri sedikit pujian (kepada Perdana Menteri),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Fikrah Dan Hujjah (Siri 15) bertajuk “Ramadan – Antara Adat & Ibadat” baru-baru ini.

Dimoderatorkan oleh Rizal Azizan, turut menjadi panelis ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Mengulas lanjut, Rozaime menyeru agar mana-mana pemimpin di negara ini yang menjadi Perdana Menteri juga seperti Anwar Ibrahim memiliki pendirian teguh memperjuangkan hak Palestin.

“Saya mengajak untuk semua supaya dalam isu Palestin ini, kita semua letak politik kepartian ke tepi. Kita bersatu dan berdiri di atas kepimpinan yang membela rakyat Palestin.

“Walaupun mungkin di luar kita mungkin tak undi dia, dia telah menjadi pemimpin kita. Apabila dia mengeluarkan kenyataan, kita rasa bangga.

“Tak ramai pemimpin Muslim di luar sana yang berani untuk menyatakan pendirian bersama Palestin di hadapan pemimpin Barat.
“Ini satu pendirian yang kita kena sokong dan kita doakan inilah pendirian setiap pemimpin Malaysia apabila mereka menjadi Perdana Menteri.

“Mereka perlu menjadi Perdana Menteri yang tegas kerana kita mahu menghentikan keganasan,” kata Rozaime lagi.

Jika warga dunia dan agamawan di negara ini memuji kesungguhan kerajaan Malaysia yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin, tidak ada sebab walaun masih terus mengeji.

Tiada ulasan: