"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Upah seludup, edar dadah hingga RM30,000, 4 suspek dicekup

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat suspek disyaki “transporter” dadah ditahan susulan serbuan di sebuah rumah di Shah Alam yang turut membawa rampasan syabu seberat 312.7kg yang bernilai RM10.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata tiga daripada suspek yang berperanan sebagai transporter dipercayai menerima upah minimum antara RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk seludup dan mengedar dadah.

“Keempat-empat suspek itu berperanan sebagai transporter dengan menerima upah minimum antara RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk membawa masuk dan mengedar bekalan dadah itu di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara.

“Salah seorang suspek adalah pengurus bas persiaran yang berperanan sebagai koordinator urusan dadah dengan upah RM30,000 untuk satu perjalanan, manakala tiga lagi suspek masing-masing pemandu bas dan dua peniaga kosmetik berperanan sebagai transporter,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media IPK Selangor.

Kok Chin ketika mengulas lanjut, berkata serbuan dilakukan pada Rabu, 7.30 malam, berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan polis.

“Hasil serbuan di rumah teres berkawalan keselamatan itu menemukan 312.7kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam lima kenderaan di rumah berkenaan.

“Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara Malaysia dan dibawa ke Lembah Klang dengan kereta. Ia dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan luar negara,” katanya sambil menambah semua suspek berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun.

Katanya, semua suspek direman enam hari sehingga 2 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: