"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Puad kritik PADU kerana kalah PRU, terpelanting dari kerajaan

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyifatkan hanya beberapa orang sahaja yang mengkritik mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan kritikan itu dibuat disebabkan isu peribadi sebelum ini.

Beliau turut mengambil contoh kritikan yang sering dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai PADU.

"Yang bising ini Puad Zarkashi sahaja. Puad Zarkashi ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak bersetuju dengan saya.

"Ini kerana dulu saya bawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa dia menjadi (Ketua) Pengarah JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) dan dia kalah pilihan raya.

"Selepas itu, terpelanting daripada kerajaan. Jadi, ia (isu) peribadi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Peluncuran Acara Perdana KL20 di Dewan Bankuet, Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Mohd Puad dilaporkan berkata, PADU disifatkannya gagal kerana sistem kerja, komunikasi dan imej Rafizi yang tidak diyakini rakyat.

Mohd Puad berkata, kerajaan Sarawak yang secara terbuka menyatakan kebimbangan sistem itu sekali gus meminta pendaftarannya ditangguhkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada sistem penyampaian kebajikan kepada rakyat akan terencat dan bertambah kucar kacir dengan kegagalan berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kritikan beberapa pihak itu tidak menghalang pendaftaran orang ramai terhadap PADU.

"Contohnya dalam tempoh seminggu lalu, setiap hari ada 300,000 ke 400,000 orang mendaftar. Kita selalunya akan tumpu empat, lima orang yang buat bising itu. Tetapi apa jadi dengan 300,000 ke 400,000 yang mendaftar setiap hari ini?

"Saya fikir kita mengambil langkah yang objektif. Yang bising itu hak dialah.

"Kalau dia kata tak yakin kerana soal keselamatan data, kita sudah bentangkan sejak 2 Januari sampai sekarang walaupun ada ketika serangan itu sampai 2 juta cubaan seminggu (tetapi) sampai sekarang (data) masih lagi belum bocor," katanya.

Tiada ulasan: