"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lokman Noor Adam: KJ buatlah parti ‘Baju Melayu’

AKMAL MANAF

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam secara berseloroh mencadangkan bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menubuhkan parti baharu dikenali sebagai ‘Baju Melayu’.

Beliau berkata, sekiranya Khairy mahu kembali ke pangkuan UMNO, buatlah cara seperti mahu masuk ke parti itu semula.

”Belajarlah pertahankan parti.. bukan belajar untuk memusnahkan parti kita ini dengan membantu musuh parti.

”Tetapi kalau rasa tak nak bersama dengan UMNO balik, ‘move on’..

”Buatlah parti baharu.. kalau tak pun buat parti Baju Melayu.. kancing suasa.. ajak Syed Saddiq sekali,” katanya sambil ketawa dalam video dimuat naik di Facebooknya.

Selepas menjadi penyampai radio di sebuah syarikat radio tempatan, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ kini menjadi model untuk sebuah produk minuman tempatan.

Malah, bekas Menteri Kesihatan berusia 48 tahun itu juga dilihat menjadi model baju Melayu untuk sebuah syarikat pengeluar pakaian raya terkemuka sehingga menarik perhatian ramai warga maya di media sosial.

Sebelum ini, Khairy dalam podcast Keluar Sekejap bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan persoalan UMNO yang disifatkannya sebagai liabiliti dalam Kerajaan Perpaduan.

Khairy melabelkan UMNO sebagai ‘biawak hidup’ dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun tidak menyebut nama secara khusus, Ahmad Zahid menyifatkan bekas pemimpin UMNO itulah sebenarnya ‘biawak hidup’.

”Saya ingin mengatakan orang yang mengatakan orang lain sebagai biawak hidup itu dia sendiri adalah biawak hidup.

“Tanya diri sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain,” ujar Zahid.

Tiada ulasan: