"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahniah!!? Orang Kelantan paling ramai daftar PADU

SITI NUR ZAWANI

Kelantan menjadi negeri paling tinggi penduduknya yang mendaftar maklumat mereka dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan jumlah 484,639.

Data setakat 23 Mac itu dikongsikan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Beliau berkata, angka itu bersamaan 38.8 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta penduduk.

“Bermula 2 Januari lalu hingga 23 Mac, seramai 484,639 penduduk Kelantan berjaya mengisi PADU bagaimanapun kami mahu jumlah mendaftar yang lebih tinggi.

“Kita ada masa berbaki sehingga 31 Mac ini dan menyeru semua untuk segera mengemas kini PADU supaya tidak tercicir daripada mendapat segala bantuan kerajaan sebagaimana diumumkan,” katanya kepada media pada Program Daftar PADU bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim di Pejabat Penerangan Kota Bharu.

Selepas Kelantan, jumlah penduduk mendaftar PADU di Pantai Timur tersebut diikuti Pahang iaitu 406,892 dan seterusnya Terengganu 355,836.

Menurut Muhd Nor Aswadi, bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendaftar, Jabatan Perangkaan (DOSM) Kelantan mengambil tindakan proaktif membuka kaunter-kaunter di pejabat jabatan itu dan beberapa kawasan terpilih.

“Orang ramai boleh mendaftar PADU menerusi telefon bimbit masing-masing dan jika memerlukan bantuan boleh ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau ke mana-mana pejabat JaPen.

“Selainnya, ada juga kaunter-kaunter yang dibuka di pasar raya Mydin bagi memudahkan masyarakat terutamanya orang kampung untuk mengisi ataupun mengemas kini PADU,” kata beliau.

Tambahnya, orang ramai juga tidak perlu bimbang isu keselamatan maklumat mereka di dalam PADU dan memberi jaminan perkara itu adalah kerahsiaan.

“Sebagaimana disebut beberapa kali oleh menteri yang berkaitan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerahsiaan maklumat ini terjamin, pertamanya PADU diselenggara oleh pegawai-pegawai kerajaan dan mereka tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Kedua, PADU mengguna pakai sistem yang dikelolakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan beberapa agensi kerajaan yang sememangnya bertugas untuk menjamin keselamatan data pengguna,” ujar beliau.

Terkini, akhbar melaporkan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melanjutkan proses pendaftaran dan kemas kini PADU yang akan berakhir pada 31 Mac ini kerana mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.

Tiada ulasan: