"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belon berisi gas meletup dalam lif cederakan dua orang

Agensi
TANGKAP layar daripada video CCTV di X menunjukkan belon berisi gas meletup di dalam lif.
TANGKAP layar daripada video CCTV di X menunjukkan belon berisi gas meletup di dalam lif.
Mumbai: Dua individu cedera selepas belon berisi gas hidrogen untuk majlis hari jadi meletup di dalam lif sebuah pangsapuri di India.

Dalam kejadian itu, penuntut wanita, Himani Tapriya, 21, mengalami luka melecur pada lengan, leher dan perut.

Turut tercedera ialah penghantar barang, Raju Kumar Mahato, 32, yang membawa belon itu untuk seorang penghuni di pangsapuri berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan Tapriya sedang menolak beg ke dalam lif penumpang yang sempit, sebelum Mahato masuk sambil membawa belon berwarna putih, emas dan jingga lembut.

Bagaimanapun, selepas individu ketiga melangkah masuk ke dalam lif, belon berkenaan tiba-tiba meletup dan mengeluarkan api yang memenuhi ruang sempit itu dalam sekelip mata.

Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian segera melarikan diri sebaik pintu lif terbuka dengan Tapriya turut meninggalkan begnya kerana terlalu panik.

Menurut laporan media tempatan yang dipetik SCMP, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam Isnin di Anmol Tower, Mumbai.

Polis dilapor berkata, Mahato membawa antara 10 hingga 12 belon diisi gas yang dipesan penghuni pangsapuri iaitu Arpit Jain bagi sambutan hari jadi ahli keluarganya.

Tapriya yang dikejarkan ke hospital sejurus kejadian kini dalam keadaan stabil, kata polis lagi.

"Saya baru tiba di bangunan itu dari Surat dan menaiki lif untuk ke rumah ibu saudara apabila ada orang membawa belasan belon memasuki lif.

"Tiba-tiba belon di tangannya meletup, mencederakan tangan kanan, leher dan perut saya," kata wanita itu dalam laporan polisnya.

Media tempatan melaporkan belon berkenaan diisi dengan gas hidrogen yang mudah terbakar, berbanding gas helium yang lebih selamat namun kosnya lebih mahal.

Susulan kejadian itu, polis memfailkan kes kecuaian terhadap TK Jaiswal iaitu pemilik kedai belon kerana gagal memberikan arahan keselamatan kepada pekerjanya sehingga menyebabkan insiden terbabit.
-Hmetro 

Tiada ulasan: