FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis Johor menahan seorang pemandu e-panggilan kerana disyaki membuat gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita warga Vietnam baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di satu lokasi di Johor Bahru semalam selepas menerima laporan daripada mangsa pada hari yang sama.
Katanya, turut dirampas daripada suspek adalah dua telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini dan majistret membenarkan reman selama tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.
Baru-baru ini, tular satu video seorang pemandu e-panggilan yang dilihat melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.
Dalam video yang dilaporkan dirakam oleh penumpang tersebut, pemandu itu dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun ditepis.
Dia juga didengar bertanya umur wanita itu dan berapa ‘harganya’, dalam bahasa Mandarin.
Grab kemudiannya memohon maaf berhubung insiden itu dan berkata pihaknya sedang menghubungi penumpang terlibat untuk menyiasat perkara berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan