Hamzah: Pembangkang cuma jalankan tugas dengan bertanya pada PM
Alyaa Alhadjri & Qistina Nadia Dzulqarnain
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin hari ini menegaskan bahawa sebarang soalan yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ahli parlimen kerajaan adalah sebahagian daripada fungsi parlimen mereka.
Menyatakan penghargaan kepada kepada Anwar yang sebelum ini menyampaikan taklimat menteri mengenai isu sempadan Malaysia-Indonesia, Hamzah mengingatkan bahawa minggu lalu dia mendesak Putrajaya untuk menangani kebimbangan mengenai dakwaan penyerahan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung di kawasan Nunukan di Indonesia.
“Kami di pihak sini ini menunggu, inilah jawapan yang kita tunggu. Sebab kalau jawapan begini, YAB kata ‘selama ini hubungan baik dengan Indonesia’ saya bersetuju.
"Bukan saya sahaja, juga rakan-rakan di sana (pembangkang). Sebab itu kami mahu penjelasan. Kalau dah ada penjelasan, saya bagi pihak semua ucap terima kasih, nanti buat (tanya) lagi," kata Hamzah.
Ketika menyimpulkan taklimatnya, Anwar menekankan bahawa perkara yang menyentuh kepentingan negara, termasuk isu sempadan, mesti dibincangkan dengan berhemat.
“Saya tidak ada masalah mana-mana pembangkang untuk bertanya, tapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat pada negara,” kata Anwar.
“Kerjasama antara kedua-dua pihak (Malaysia dan Indonesia), dari pegawai serendah-rendahnya hingga ketua menteri, menteri, perdana menteri adalah sangat baik.
"Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan menjatuhkan hukuman dan jangan juga menyinggung perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha untuk menjalin hubungan yang sangat baik dan akrab di antara dua negara,” kata Anwar di Dewan Rakyat.
Terdahulu, kenyataan Anwar mengenai dakwaan fitnah mencetuskan keriuhan dengan bantahan daripada blok pembangkang di parlimen, yang seterusnya mencetuskan bantahan lanjut daripada ahli parlimen backbencher termasuk Sany Hamzan (pakatan Harapan-Hulu Langat) dan Howard Lee (PH-Ipoh Timur).
Ahli Parlimen Kampar, Chong Szemin juga membangkitkan aturan mesyuarat terhadap seorang ahli parlimen pembangkang yang kedengaran menjerit “penjilat!” terhadap ahli parlimen backbencher.
Hamzah hari ini juga menegaskan bahawa tuntutan pembangkang untuk penjelasan adalah berdasarkan laporan media Indonesia yang mendakwa Malaysia telah menyerahkan ribuan hektar tanahnya sebagai pertukaran untuk tiga buah kampung - Kampung Kabulanalor, Kampung Lepaga, dan Kampung Tetagas - di Pulau Sebatik, di sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan.
"Sebab itu kita minta YAB Tambun (Anwar) bentangkan dalam parlimen. Kalau dah bentang kita terima. Kalau ada khilaf yang akan timbul pada masa hadapan, kita tanya lagi. Itulah kerja kita," tegasnya.
Sebelum taklimat hari ini, Anwar pada Jumaat lalu menegaskan bahawa “tiada keperluan” untuk perkara itu dijelaskan di Parlimen, dan sebaliknya mengecam pembangkang kerana menurutnya berbohong ketika mengulas mengenai isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan