Sinar Harian
Operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berpakaian kostum Spider-Man cedera selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika mendaki Bukit Dinding di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai terjatuh di kawasan cerun berkecuraman hampir 75 darjah ketika sedang melakukan aktiviti pendakian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras dan Sentul, Mejar Pertahanan Awam Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.02 petang.
"Sejurus menerima maklumat, dua pasukan penyelamat termasuk perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kenderaan pertama tiba di lokasi pada jam 5.44 petang sebelum operasi menyelamat dimulakan pada jam 5.54 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pasukan penyelamat terpaksa mendaki bukit sejauh kira-kira satu kilometer mengikut laluan trek sebelum bergerak lebih kurang 70 meter di luar trek bagi sampai ke lokasi mangsa.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter di kawasan cerun yang mempunyai kecuraman sekitar 75 darjah.
"Ketika ditemui, mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian tulang belakang dan kaki," katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur dengan bantuan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) dan sebuah Medical Rescue Vehicle (MRV).
"Mangsa berjaya dibawa turun ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan EMS untuk rawatan awal.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke Zon Resusitasi 2 untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 petang. - Sinar Harian

Tiada ulasan:
Catat Ulasan