Bernama
KOTA BHARU: Tiga lelaki tempatan termasuk dua yang mempunyai rekod kesalahan dadah ditahan kerana disyaki menyeludup 10,000 kilogram (kg) beras Siam di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga DSP Muhamad Keny Anyie Abdullah berkata suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun ditahan menerusi OPS Taring Gelora oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.
"Pada operasi kira-kira 9 malam sepasukan pegawai dan anggota mengekori sebuah lori dari Kampung Bendang Pok Yong menuju ke Chabang Empat sebelum menahannya di bahu jalan Kampung Kebakat.
"Pemeriksaan mendapati lori itu membawa 200 guni beras putih import seberat 50 kg setiap satu dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM290,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Keny Anyie berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana memiliki dan disyaki melakukan kesalahan berkaitan kawalan padi dan beras serta dirujuk kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kota Bharu.
Beliau berkata tangkapan itu merupakan kes ketiga melibatkan penyeludupan beras putih import dipatahkan PPM Pengkalan Kubor tahun ini, dengan sebanyak 27 tan beras putih import dirampas melibatkan nilai keseluruhan RM1.1 juta setakat ini.
Beliau berkata polis marin akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan memastikan keselamatan perairan negara dengan orang ramai diminta menghubungi talian 09-5137726 atau e-mel gerakanw3@gmail.com jika mempunyai maklumat berkaitan.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan