Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

NURFARAHANIM mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO L Manimaran
Ipoh: Wanita yang mengamuk di sebuah kedai makan didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan berasingan.
Nurfarahanim Soaid, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan di dua mahkamah berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, Nurfarahanim mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamed Hussain Mubarakali dengan cara menampar dan menumbuk mangsa.
Justeru dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Nurfarahanim memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai tiga anak, menghidap gangguan bipolar sejak 2021, dan memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 2018.
Anis Hanini kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,800, atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan kedua di mahkamah berasingan, Nurfarahanim mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muniasamy Rathinavel Nadar menggunakan senjata berbahaya, iaitu garpu.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alatan berbahaya, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia juga mengaku melakukan khianat dengan memecahkan tiga kaca pameran makanan restoran yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Semua kesalahan itu berlaku di Restoran SK Naina di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai, pada jam 6.26 pagi, 28 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan.
Nishaalini menggesa mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh menunjukkan tingkah laku agresif di tempat awam dan menggunakan garpu, yang boleh dianggap sebagai senjata berbahaya, untuk mencederakan mangsa.
"Dia juga menggunakan pisau pemotong daging untuk menghempas kaca pelindung di restoran yang menunjukkan tingkah laku agresif. Pemilik restoran mengalami kerugian berjumlah RM45,000, termasuk kos harta benda yang rosak dan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Dalam rayuan, Gnanarajan memohon denda minimum dengan menjelaskan bahawa anak guamnya adalah seorang ibu tunggal yang sedang menerima rawatan kerana gangguan bipolar dan mengalami kesukaran mengawal tindakannya.
"Dia menjual kuih dengan pendapatan hanya RM500 sebulan," katanya.
Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi pertuduhan kedua dengan hukuman penjara 12 bulan jika gagal bayar, dan RM4,000 bagi pertuduhan ketiga dengan hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan