Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Keadaan tiga rumah yang terbakar hingga mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kejadian di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Kuala Langat: "Saya sangkakan dia mengekori saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Tidak sangka dia terperangkap dalam kejadian kebakaran itu," ujar peguam, Nur Liah Asul, 38.
Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi semalam, kediaman dihuni dan dua lagi rumah di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, musnah terbakar.
"Kejadian berlaku ketika saya cuba memujuk Muhammad Zahir Adha Mohd Zaid, tiga tahun, untuk tidur.
"Tiba-tiba terdengar bunyi riuh-rendah di luar rumah yang menyebabkan saya segera keluar. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya Muhammad Zahir `tercicir' jiran bertanyakan sama ada masih ada lagi sesiapa di dalam rumah.
"Bila toleh ke belakang dan lihat anak-anak sambil kira jumlah mereka, barulah saya tersedar arwah berkemungkinan tertinggal dalam rumah," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini.
Menurutnya, tragedi menimpa anak ketiga dari empat beradik itu amat menyayat hatinya.
"Jiran terdengar suara budak namun tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana api terlalu marak," katanya.
Nur Liah berkata, sebelum kejadian Muhammad Zahir Adha tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali aktif bermain.
Jelasnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Terdahulu, media melaporkan punca kebakaran tiga rumah terbabit disebabkan litar pintas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah sebuah rumah yang pada mulanya mengalami litar pintas.
Menurutnya, kejadian itu membabitkan deretan rumah sewa sekitar jam 2.50 pagi sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan