"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas dipenjara 12 tahun, samun barang kemas dua wanita

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
TERTUDUH, Abd Khalid Hamid dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif.
TERTUDUH, Abd Khalid Hamid dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif.
Kangar: Lelaki warga emas dihukum penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana melakukan samun terhadap dua wanita warga emas di Arau pada Disember dan bulan lalu.

Tertuduh, Abd Khalid Hamid, 67 dari Alor Setar kekal dengan pengakuan bersalahnya yang dibuat pada prosiding sebelum ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Abd Khalid didapati melakukan samun terhadap Hamiah Ismail, 83, dengan mengambil seutas rantai leher berwarna emas dengan berat sekitar 22 gram di sebuah rumah di Kampung Katong, Kurung Anai, Arau sekitar jam 11.30 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan satu lagi samun terhadap Siti Gayah Ahmad, 87, dengan mengambil seutas rantai emas bernilai RM7,000 di sebuah rumah di Kampung Changkat Kabu, Jelempok, Arau jam 5 petang pada 6 Januari lalu.

Tertuduh didapati melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Azira dalam hujahannya memohon mahkamah agar dapat memberikan satu hukuman penjara yang paling singkat memandangkan anak guamnya sudah mengaku salah dan menjimatkan kos mahkamah.

Selain itu, Azira dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira keadaan anak guamnya yang mempunyai pendapatan tidak menentu serta terpaksa menanggung ibu dan bapa saudara yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan serta dua anaknya yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Dalam masa yang sama juga, anak guamnya adalah seorang duda yang menghidap kanser prostat, kencing manis dan darah tinggi serta memerlukan rawatan di hospital.

Azira dalam rayuannya lagi memberitahu mahkamah anak guamnya sudah insaf dan tindakan yang dilakukan adalah disebabkan desakan kesempitan wang untuk kelangsungan hidup dan tidak bertujuan untuk hidup mewah.

Selain itu, tiada mangsa yang dicederakan dalam kedua-dua kejadian itu.

Nabilah pula memohon mahkamah agar dapat memberikan satu tempoh hukuman penjara berasingan untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan mengambil kira kesalahan tertuduh yang bertindak masuk ke rumah mangsa walhal rumah sepatutnya menjadi tempat yang selamat.

Nabilah juga memohon agar barang kes daripada tertuduh diberikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan atau dikembalikan kepada mangsa semula.

Setelah mempertimbangkan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Sharifah Norazlita memutuskan tertuduh dikenakan hukuman selama 12 tahun bagi kedua-dua pertuduhan.

Tiada ulasan: