"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah takkan undur, hanya tunggu tindakan Bersatu

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Hamzah Zainudin tidak akan melayan desakan berundur daripada jawatan timbalan presiden Bersatu sebaliknya hanya menunggu tindakan mungkin dikenakan parti ke atasnya, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Ahli Parlimen Larut itu juga mungkin tidak tampil memberikan penjelasan terbuka dalam masa terdekat, dan akan terus mengambil pendekatan berdiam diri.

“Saya pasti Hamzah tidak akan berundur, pada masa sama tidak akan menjawab (desakan itu).

“Dia akan terus mendiamkan diri dan hanya menunggu kalau Bersatu atau lembaga disiplin mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap rakan-rakannya,” katanya kepada FMT.

Azmi mengulas gesaan Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, supaya Hamzah berundur daripada jawatan itu atau dikenakan tindakan disiplin tegas kerana didakwa menjadi punca utama kemelut dalaman parti.

Rafiq berkata, beberapa laporan terhadap Hamzah dikemukakan ahli parti kepada Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan penglibatan dalam gerakan terancang untuk melemahkan Muhyiddin.

Beliau turut mempersoalkan sikap Hamzah yang didakwa gagal mengawal penyokongnya walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memutuskan semua pihak menghentikan serangan dalaman.

Hamzah sebelum ini menafikan hubungannya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, ketua pembangkang terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sementara itu, Azmi berkata kemelut berkenaan dijangka terus berlarutan dan berpotensi menjadi lebih rumit apabila dikaitkan dengan perkembangan politik di Perlis serta hubungan Hamzah dengan kepimpinan PAS dalam PN.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, gesaan terhadap Hamzah berpotensi mencetuskan perpecahan serius dalam Bersatu jika tidak ditangani segera.

Katanya, kemelut juga dijangka berlarutan memandangkan Muhyiddin tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur walaupun berdepan tekanan kuat daripada pihak sering dikaitkan dengan kumpulan Hamzah.

Bagaimanapun, Mazlan berkata bagi menyelesaikan masalah itu, Hamzah mempunyai dua pilihan iaitu kembali merapatkan hubungan dengan Muhyiddin atau menunggu waktu sesuai untuk mencabar jawatan presiden.

“Namun, saya fikir dua pilihan itu juga sukar bagi Hamzah kerana perkembangan yang berlaku dalam Bersatu sudah kritikal dan kemungkinan Bersatu pecah dua adalah tinggi.

“Walaupun Hamzah bertahan dengan menyokong Muhyiddin namun tindakan penentang, pengkritik Muhyiddin dalam kalangan penyokong dan pemimpin Bersatu sering ditafsir ada hubungan dengan Hamzah meskipun ia tidak semestinya benar begitu,” katanya.

Tiada ulasan: