"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu, ibu saudara ditahan bantu siasatan budak enam tahun lemas di kolam air panas

Bernama

ALOR GAJAH: Ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas di sebuah kolam air panas di sini malam tadi, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 27 dan 22 tahun ditahan hari ini untuk tujuan rakaman percakapan.

"Dua beradik itu dipercayai berada di tempat kejadian dan akan dilepaskan petang ini dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan jenazah kanak-kanak berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Ahmad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Felda Keratong, Pahang, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: