"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

LHDN kesan lebih RM10 bilion dalam akaun luar negara tidak diisytihar

Bernama

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui borang nyata cukai pendapatan (BNCP).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara, sejajar usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.

Menurut LHDN, akaun kewangan luar negara dengan baki yang signifikan berkenaan turut melibatkan beberapa negara seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.

“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela, di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” menurut kenyataan.

Bagi mengelakkan penalti serta tindakan undang-undang bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN menasihati pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan dan mempunyai akaun kewangan luar negara daripada sumber pendapatan yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia tampil secara sukarela dalam tempoh terdekat bagi membuat pelaporan serta pematuhan yang sewajarnya.

“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.

“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas mengenai perkara itu boleh hubungi HASiL contact centre menerusi talian 03 89111000/ 603 89111000 (luar negara), HASiL live chat dan borang maklum balas menerusi laman rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/

Tiada ulasan: