"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes 6 rangka manusia: 2 beradik didakwa bunuh lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua beradik yang juga suspek kes penemuan enam rangka manusia di sebuah rumah terbakar di Skudai, didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh seorang lelaki tahun lalu.

Berita Harian melaporkan R Utes, 36, dan R Arasan, 32, yang bertongkat mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nabilah Nizam, tetapi tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa bersama membunuh V Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor dekat ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai antara 12.30 tengah malam hingga 4 pagi 15 Sept 2025.

Dua lelaki tempatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta perlu disebat sehingga 12 kali, jika tidak dihukum mati.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 April ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dua tertuduh yang juga suspek utama kes penemuan enam rangka manusia, termasuk lima beranak di sebuah rumah terbakar di Kangkar Pulai, dipercayai ialah rakan kepada dua mangsa dewasa.

Enam mangsa terdiri daripada seorang wanita 35 tahun, remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan sembilan tahun, seorang kanak-kanak lelaki dua tahun dan seorang lelaki 29 tahun.

Semalam, polis dilaporkan berkata suami kepada seorang mangsa membuat laporan pada 9 Jan lalu, selepas menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anaknya yang dilaporkan hilang.

Tiada ulasan: