"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap dua pegawai Imigresen

Muhaamad Hafis Nawawi

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor memperoleh perintah waran tangkap terhadap dua pegawai Imigresen kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes rasuah.

Menurut sumber, perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Lee Lee dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

“Sebelum itu, peguam kedua-dua tertuduh, Saleh Tukimin, memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya dalam tempoh cuti sakit di mana seorang mengalami ‘slip disc’ dan seorang lagi mengalami masalah tyroid.

“Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan sebelum 25 Februari ini,” katanya.

Sebelum ini, pertuduhan kali pertama untuk kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 21 Januari lalu bagaimanapun kedua-duanya gagal hadir dan mahkamah menetapkan semalam untuk pertuduhan kali kedua.

Kedua-dua tertuduh sepatutnya didakwa dengan kes berkaitan perbuatan rasuah yang didakwa berlaku pada 22 September 2024 di Pejabat Imigresen Terminal Pasir Gudang, Johor.

Kedua-duanya disyaki secara bersama menerima wang berjumlah RM100 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap dokumen perjalanan seorang warga Indonesia.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tiada ulasan: