"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Wanita maut dengan tiga kesan tikaman, dipercayai dibunuh anak

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ZAHARULLAIL, mangsa yang dipercayai ditikam anak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAHARULLAIL, mangsa yang dipercayai ditikam anak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Zaharullail Basir, 52, bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank di di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pada jam 8.45 pagi tadi, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya di lokasi kejadian yang disyaki ditikam di bahagian badan serta di pukul di bahagian kepala.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar awal pagi tadi sebelum salah seorang anak mangsa menemukan ibunya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga kesan tikaman iaitu di bahagian atas dada kiri, kecederaan di pergelangan tangan serta terdapat kesan luka di bahagian kepala dan muka serta luka kecil dan luka tikaman di tapak tangan kiri. Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati sebuah beg tangan mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit didapati hilang, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Basri berkata, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya dan berikutan itu sepasukan anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan K-9 tiba di lokasi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, usaha menangkap suspek yang dipercayai salah seorang anak mangsa sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu pihak polis menyeru kepada penama berikut iaitu Amirul Shafiq Shamsul Zahari, berusia 28 tahun, untuk tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes.

"Seksyen 302 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

"Polis memohon kerjasama saksi, khususnya ahli keluarga terdekat mangsa atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran atau di IPD Kota Setar, " katanya.

Syed Basri berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 04-774 7222 dan Polis Diraja Malaysia k (PDRM) komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Tiada ulasan: