MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

Suspek dibawa anggota SPRM bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) ekoran disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik badan itu berjumlah kira-kira RM4.2 juta.
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga 7 Februari depan selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah, di sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan.
“Ia di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut,” katanya hari ini.
Kata sumber, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan