"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa yang berlaku di Timur Tengah setakat ini: Akhirnya Amerika keluar dari Iraq

Harapandaily

NIK HASYUDEEN

Amerika terpaksa merayu kepada pihak penentang di Iraq supaya diadakan gencatan senjata selama 24 jam bagi membolehkannya mengundurkan anggotanya dari Baghdad.

Sama ada kesemua keluar atau masih ada yang tinggal di dalam kompleks kedutaan Amerika di zon hijau Baghdad dan Pengkalan Victoria tu, saya tak tahu.

Tentera Amerika masih lagi ada di kawasan pihak Kurdish. Bagi saya, ini akan memudahkan pihak yang nak menghalau Amerika keluar untuk menumpukan usaha mereka di sana.

Kurdish ni sensitif bagi Turkeyē dan Iran. Pernah ada cubaan pasukan Kurdish yang dibayar oleh Amerika untuk memasuki Iran di awal tahun yang lalu. Pihak Turkeyē memaklumkan perkara itu kepada Iran dan akhirnya Iran menghapuskan pasukan tajaan Amerika itu.

Walaupun perang utama ialah di antara Amerika-Israel dengan Iran, ada beberapa medan yang sedang panas. Di selatan Lebanon, Hizbullah sedang memberikan tentangan sengit ke atas tentera Israel yang mahu menjadikan selatan Lebanon sama seperti Gaza.

Presiden dan Perdana Menteri Lebanon adalah boneka Amerika. Mereka hanya bising apabila infrastruktur Lebanon dimusnahkan tetapi tidak mengarahkan tentera Lebanon untuk mempertahankan wilayahnya (tak mampu pun).

Di Iraq pula, Amerika dan Eropah sudah beransur-ansur keluar. Mungkin selepas ini pihak yang lebih cenderung kepada Iran akan menjadi lebih berpengaruh. Ini adalah satu perkara di luar jangkaan saya.

Di dalam masa yang sama, pihak Houthi di Yemen hanya menunggu masa untuk terlibat sama. Mungkin mereka diarahkan bersabar dahulu kerana kedudukan strategik mereka berdekatan dengan Laut Arab. Sekiranya perlu, laluan berkenaan boleh ditutup. Meletuplah harga minyak dunia.

Sebentar tadi Israel telah menyerang infrastruktur awam Iran walaupun tempoh masa yang Trump berikan supaya Iran membuka Selat Hormuz belum tamat. Mungkin Israel mahu Iran bertindak balas supaya Amerika terpaksa menyerang dengan lebih ganas.

Apa yang saya nampak ialah negara-negara Teluk akan diserang dengan lebih teruk lagi khususnya pengakalan-pengkalan tentera Amerika dan infrastruktur yang menyokong pengkalan-pengkalan berkenaan seperti logi penjanaan elektrik dan penyulingan air. Ini sudah tentu akan tempias kepada orang awam.

UAE, seperti yang dijangka, sudah menyerlahkan sokongan kepada Israel, rakan karib rajanya. Ini bukannya satu perkara yang pelik. Di zaman Nabi lagi perkara seperti ini sudah berlaku walaupun Iran bukannya sama dengan pihak Nabi di zaman itu. “Birds of a feather flock together”.

Di peringkat ini sahaja sudah menggambarkan kedudukan Asia Barat akan berubah selepas perang. Jika Iran meneruskan serangan ke atas Israel pada kadar sekarang dan mula menyerang infrastruktur seperti logi penjanaan elektrik dan pusat penyulingan air, Israel sebagai sebuah negara moden susah nak hidup.

Iran juga sudah membayangkan ia mahu penyelesaian menyuruh termasuk menjamin kedudukan Lebanon dan juga Gaza. Sekurang-kurangnya Iran masih menyebut Gaza berbanding dengan pihak lain di kala perang yang getir ini. Perasan tak?

Apa yang saya bayangkan ini adalah perubahan strategik, bukannya perubahan taktikal yang tak bertahan lama. Jika anda mahu belajar strategi, anda kena mampu bezakan di antara strategik dan taktikal. Penting tau.

Tiada ulasan: