"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

18 maut bas terjunam ke dalam sungai di Bangladesh

Astro AWANI
Kejadian berlaku kira‑kira jam 5.15 petang waktu tempatan di terminal feri Daulatdia, bandar Goalanda, apabila bas menuju Dhaka itu hilang kawalan ketika sedang menaiki ponton untuk memasuki feri.
DHAKA: Sekurang-kurangnya 18 orang maut apabila sebuah bas yang membawa kira‑kira 50 penumpang terjunam ke dalam Sungai Padma di daerah Rajbari, Bangladesh, petang semalam.

Kejadian berlaku kira‑kira jam 5.15 petang waktu tempatan di terminal feri Daulatdia, bandar Goalanda, apabila bas menuju Dhaka itu hilang kawalan ketika sedang menaiki ponton untuk memasuki feri.

Pegawai Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam, Dewan Sohel Rana berkata bas tersebut terjatuh dari ponton sebelum tenggelam ke dasar sungai sedalam kira‑kira 24 meter.

Majoriti mangsa yang maut merupakan penumpang yang terperangkap di dalam bas, termasuk wanita dan dua kanak‑kanak, manakala 10 hingga 11 penumpang berjaya berenang ke tebing sungai.

Kapal penyelamat Hamza berjaya menaikkan bangkai bas pada jam 11.50 malam tadi, dengan 16 lagi mayat ditemukan di dalamnya selepas dua mayat awal ditemui penduduk tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mengesan kemungkinan mangsa lain yang masih hilang.

Insiden berlaku ketika orang ramai pulang ke Dhaka selepas cuti perayaan Aidilfitri selama seminggu, menyebabkan jumlah penumpang di laluan tersebut meningkat.

Tiada ulasan: