"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 jam beratur isi minyak, pemandu lori ditemui maut

KOSMO
Lori milik mangsa berada di stesen minyak PTT selama 10 jam. - Facebook
BANGKOK – Seorang pemandu lori ditemukan mati di dalam kenderaannya di sebuah stesen minyak di Prachuap Khiri Khan semalam, selepas dia dipercayai menunggu dalam barisan untuk mengisi minyak selama lebih 10 jam, lapor laman berita Thaiger.

Phut Nutchabut, 51, dilaporkan hilang selepas pemilik syarikat lori tersebut gagal menghubunginya melalui telefon. 

Apabila panggilan tidak dijawab, pemiliknya mengesan lokasi parkir terakhir lori tersebut dan mendapati ia masih diletakkan di stesen minyak PTT di daerah Kui Buri.

Lelaki itu kemudian menghubungi stesen minyak berkenaan dan meminta seorang petugas untuk memeriksa lori tersebut. 

Mangsa kemudian ditemukan terbaring mati di tempat duduk belakang dengan enjin masih hidup. 

Polis berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa memandu masuk ke stesen minyak itu pada pukul 10.53 malam (waktu tempatan), kelmarin dan meletakkan  kenderaan dengan enjin dibiarkan hidup.

Dia  kekal berada di sana selama lebih 10 jam sebelum ditemui.

Penyiasat percaya bahawa mangsa memasuki stesen minyak untuk mendapatkan tempat berhampiran barisan hadapan bagi mengisi bahan api itu dan tertidur semasa menunggu di dalam lori.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati terdapat celahan kecil di salah satu tingkap, yang dipercayai menyebabkan gas karbon monoksida masuk ke dalam lori. 

Pendedahan berlebihan kepada gas itu dianggap sebagai punca kematian.

Siasatan masih diteruskan, manakala mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat. – AGENSI

Tiada ulasan: