Austin Camoens

Gambar tangkap layar daripada rakaman video tular yang menunjukkan kemalangan maut di SUKE, semalam -Foto viral
KUALA LUMPUR: Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya, dirempuh kereta di Kilometer 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan sekitar jam 5.56 petang itu, menyebabkan mangsa berusia 24 tahun parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan yang sedang dalam perjalanan dari arah Kajang, dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi dan secara melulu ketika memasuki jalan susur ke arah Ampang.
“Kereta terbabit dipercayai memotong sebuah kenderaan lain, sebelum merempuh motosikal mangsa yang sedang bergerak di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa, lelaki tempatan yang bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, manakala lengan kirinya terputus.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, pemandu kereta iaitu lelaki tempatan berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun, melalui talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dilihat terbaring kaku di atas jalan, selepas sebuah kereta merempuh motosikal ditunggangnya, berdasarkan satu rakaman video berdurasi satu minit 18 saat yang tular di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan