Elill Easwaran
Bekas yang dipertua Dewan Negara itu berkata Umno telah hilang seri dan daya tarikan untuk Melayu yang berfikir.
Veteran politik Rais Yatim berkata beliau tiada rancangan untuk kembali kepada Umno yang lancarkan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ untuk tarik bekas ahlinya kembali.
PETALING JAYA: Veteran politik Rais Yatim menolak kemungkinan untuk beliau kembali ke pangkuan Umno walaupun parti Bersatu, kini berdepan dengan konflik kepimpinan.
Bekas yang dipertua Dewan Negara itu berkata Umno, yang pernah disertainya selama beberapa dekad sehingga dipecat pada 2018, telah hilang seri dan daya tarikan.
“Umno telah hilang serinya bagi orang Melayu yang berfikir. Saya tidak berhasrat untuk kembali sebagai ahli,” katanya kepada FMT, menolak inisiatif ‘Rumah Bangsa’ parti itu untuk bekas ahlinya kembali.
Rais turut mendakwa pemecatannya dari Umno sebelum ini sebagai tidak sah kerana ia dilakukan oleh setiausaha agung ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor, bukannya lembaga disiplin parti.
“Ia hanya kerana saya berpendapat Low Taek Jho perlu ditangkap dan dibawa pulang untuk dibicarakan pada April 2018,” katanya.
Bagaimanapun, Rais juga tidak menyembunyikan rasa kecewanya terhadap Bersatu, dengan menyatakan parti itu tidak lagi wajar dipanggil ‘Bersatu’ kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.
“Segala-galanya dalam Bersatu sudah berpecah, kecuali namanya,” katanya yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan.
Bekas Ahli Parlimen Jelebu selama enam penggal itu, pernah memegang pelbagai portfolio menteri di peringkat persekutuan dan dilihat sebagai sekutu rapat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Beliau dipecat daripada Umno bersama veteran lain seperti Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin pada Mei 2018 selepas mengkritik parti itu dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan semasa kempen PRU14.
Rais kemudian menyertai Bersatu tidak lama selepas itu dan pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian parti di Negeri Sembilan.
Beliau meletak semua jawatan dalam parti bulan lalu susulan pemecatan 17 pemimpin parti, termasuk timbalan presiden, Hamzah Zainudin, ketika kemuncak krisis kepimpinan antara Hamzah dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Rais kekal sebagai ahli Bersatu namun lantang mengkritik Muhyiddin, termasuk menegur bekas perdana menteri itu awal bulan ini berhubung ‘tarik tali’ dengan pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan