Bernama
JITRA: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 2,250 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng menerusi Ops Tiris di sebuah stesen minyak di Bukit Kayu Hitam, Rabu lepas.
Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Kubang Pasu pada 10 pagi itu telah menahan lelaki berumur 32 tahun bersama sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu telah menjumpai beberapa barang yang dipercayai berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel termasuk beberapa kad subsidi milik syarikat lain yang digunakan, turut ditemukan sebuah tangki tambahan yang diubah suai mengandungi 250 liter minyak.
“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan stor di sebuah rumah yang disewa suspek di Kampung Padang Satu. Polis telah menjumpai sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam tong dan tangki dengan anggaran melebihi 2,000 liter,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata permintaan minyak yang sedang meningkat termasuk di negara jiran akibat krisis di Asia Barat kini telah menyebabkan sindiket mengubah modus operandi mereka untuk melakukan aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi.
“Suspek telah menutup tangki tambahan di atas lori dengan kayu palet bagi mengaburi mata penguat kuasa. Suspek kemudiannya akan ke satu stesen minyak dan mengisi minyak sebanyak 250 liter dahulu sebelum pergi ke stesen minyak yang lain untuk memenuhkan tangki berkenaan.
“Suspek seterusnya memindahkan minyak ke dalam tong dan tangki di dalam sebuah van usang yang terletak di laman rumah sebelum pembeli tempatan atau dari negara jiran datang membuat pembelian daripadanya. Hasil jualan itu, suspek berjaya mengaut keuntungan lebih tinggi,” katanya.
Radzi berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan, telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Pihak polis menegaskan bahawa kegiatan penyeludupan diesel menggunakan kad subsidi milik syarikat lain untuk tujuan penjualan di tempat tertentu adalah salah di sini undang-undang, dan siasatan masih berjalan bagi mengesan pemilik-pemilik kad berkenaan.
“Pemilik stesen minyak dan penduduk setempat diharap dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan ini, mustahil pemilik stesen minyak tidak tahu mengenai perkara ini. Jika disyaki bersubahat, mereka juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan