Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Polis bantuan KTMB menahan lelaki bersenjatakan parang dipercayai cuba mencuri kabel di KM39.51 dekat Kampung Raja Uda, Klang. Foto ihsan KTMB
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menahan seorang lelaki bersenjata parang yang disyaki cuba mencuri kabel di kawasan landasan di Kilometer 39.51 dekat Kampung Raja Uda di Klang, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 6.10 petang itu, suspek yang berkelakuan mencurigakan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis bantuan yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah, namun berjaya ditahan.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Anggota bertugas telah merampas sebilah parang, satu guni dan satu gulung kabel bersaiz 2.5 milimeter (mm).
“Suspek bersama semua barang rampasan kemudiannya telah diserahkan kepada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KTMB turut memberi amaran keras bahawa perbuatan menceroboh kawasan landasan dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan jenayah yang amat serius.
Tindakan undang-undang yang tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana individu di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan