"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembaziran dan budaya berlebih-lebihan sepanjang Syawal ketara ketika sambut hari raya

Tabzir, israf sepanjang Syawal ketara ketika sambut hari raya

Yusmizal Dolah Aling, Muhammad Saufi Hassan dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sedar tidak sedar, sudah seminggu kita menyambut Aidilfitri, namun dalam keseronokan kita meraikan lebaran, terdapat beberapa tingkah laku segelintir masyarakat Islam yang tidak selari dengan nilai syariah tanpa disedari.

Pembaziran dan budaya berlebih-lebihan, lalai dengan gajet dan hiburan, meremehkan silaturahim dan melalaikan ibadah selepas berakhirnya Ramadan antara sikap yang tidak sepatutnya diamalkan terutama ketika menyambut hari raya sepanjang syawal.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Prof Madya Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, fenomena pembaziran (tabzir) dan pemborosan (israf) sepanjang Syawal antara perkara yang ketara membelenggu umat Islam ketika hari raya.

Katanya, tabzir merujuk kepada penggunaan harta pada perkara yang tidak memberi manfaat atau sia-sia, manakala israf pula ialah berlebih-lebihan walaupun pada perkara yang harus.

"Dalam konteks rumah terbuka dan sambutan Aidilfitri, makanan disediakan melebihi keperluan sehingga dibuang, pakaian dan perhiasan dibeli bukan kerana keperluan tetapi untuk memenuhi tuntutan gaya hidup dan persepsi sosial.

"Keadaan ini menunjukkan berlakunya peralihan daripada budaya syukur kepada budaya konsumtif. Sedangkan dalam kerangka Maqasid Syariah, harta adalah amanah yang perlu diurus secara seimbang, bukan dibelanjakan tanpa kawalan emosi dan nafsu.

Lebih halus daripada itu ialah unsur riak dan takalluf (memberat-beratkan diri) yang menyelinap dalam budaya perayaan. Keinginan untuk dilihat meriah, mewah atau setanding dengan orang lain mendorong sebahagian masyarakat berbelanja di luar kemampuan.

Katanya, ia bukan saja menjejaskan kestabilan kewangan individu, bahkan mencemarkan nilai keikhlasan dalam beramal.

Pada masa sama, lebihan makanan yang dibuang menggambarkan hilangnya sensitiviti terhadap nikmat Allah dan realiti masyarakat yang masih memerlukan.

Beliau yang juga Prof Madya Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA berkata, satu lagi 'penyakit' masa kini ialah penggunaan gajet berlebihan sepanjang Syawal yang bukan sekadar isu sosial, tetapi berkait dengan nilai dan keutamaan dalam Islam.

"Syawal sepatutnya menjadi ruang mengukuhkan silaturahim melalui interaksi bersemuka yang penuh adab, namun apabila perhatian lebih tertumpu kepada skrin, berlaku keadaan "hadir tanpa jiwa".

"Dalam Islam, hubungan bukan sekadar kehadiran fizikal, tetapi membabitkan ihsan seperti mendengar, berempati dan berkomunikasi dengan penuh perhatian.

"Lebih membimbangkan, penggunaan gajet ketika ziarah menghakis makna silaturahim itu sendiri, menjadikan hubungan hambar dan dangkal. Ia juga menjejaskan aspek penting dalam Maqasid Syariah seperti pemeliharaan akal dan hubungan sosial. Ketagihan digital boleh melemahkan fokus, mengurangkan empati dan merosakkan adab terhadap tuan rumah atau tetamu," katanya.

Selain itu katanya, pergaulan bebas tanpa kawalan, pengabaian aurat, serta hiburan yang melampaui had bukan sekadar isu kecil, tetapi mencerminkan kefahaman yang tidak tepat terhadap konsep kebebasan dalam Islam.

"Syariah datang untuk membimbing manusia agar setiap aspek kehidupan, termasuk kegembiraan, berada dalam kerangka yang seimbang dan bermaruah.

"Sebagai nasihat, Syawal seharusnya dijadikan medan untuk melatih qana'ah dan kesederhanaan, bukan perlumbaan kemewahan. Penyediaan makanan hendaklah berpada dengan jumlah tetamu dan lebihan wajar diagihkan atau disimpan dengan baik. Perbelanjaan pula perlu dirancang berdasarkan kemampuan, bukan tekanan sosial," katanya.

Tiada ulasan: