"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baru nak beli roti, tiba-tiba kena tampar

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
FARHAN yang ditampar seorang lelaki ketika membeli roti di Pasar Seni menunjukkan laporan dibuat di balai polis. FOTO ihsan Muhammad Isa
FARHAN yang ditampar seorang lelaki ketika membeli roti di Pasar Seni menunjukkan laporan dibuat di balai polis. FOTO ihsan Muhammad Isa
Kuala Lumpur: "Saya pada mulanya nak beli Roti Boy di Pasar Seni sebelum tiba-tiba ditampar seorang lelaki tidak dikenali di hadapan kaunter sehingga terjatuh ke lantai," kata Farhan Nasir Muhammad Isa, 12.

Dalam kejadian 1.35 tengah hari itu, Farhan melihat tiada orang beratur dan kemudian terus ke kaunter untuk membeli roti itu.

Menurutnya, bagaimanapun kemudian datang lelaki tidak dikenali melihat-lihat makanan sebelum tiba-tiba dia menamparnya di muka.

"Akibat ditampar saya terjatuh ke lantai dan ketika itu berasa sakit di kepala dan telinga.

"Saya ada bertanya kepada dia mengapa menampar sebelum lelaki itu mendakwa saya memotong barisan sedangkan ketika itu tiada orang beratur di kaunter," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

"Semalam juga saya dibawa keluarga ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan hari ini sedang menunggu laporan X-Ray," katanya.

Sementara itu, bapanya, Muhammad Isa berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu ketika pulang ke rumah selepas kerja.

"Barulah anak beritahu kejadian itu dan difahamkan lelaki itu kemungkinan pemandu teksi namun tidak pasti.

"Anak hanya pergi sekejap ke Pasar Seni untuk membeli roti," katanya.

Tiada ulasan: