FMT Reporters
PETALING JAYA: Pasangan suami isteri ditemui mati dalam keadaan tragis dengan beberapa anggota badan termasuk kepala dipotong manakala anak lelaki mereka juga ditemui maut di sebuah rumah di Sungai Petani, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, mayat pasangan berusia 65 tahun dan 53 tahun itu ditemui dibungkus di dalam permaidani dan kain di dapur rumah di Kampung Belau di Merbok, lapor Harian Metro.
Katanya, mayat anak lelaki pasangan itu yang berusia 29 tahun ditemukan di dalam bilik tingkat atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 malam tadi yang memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang menghuni rumah terbabit sudah tiga hari tidak kelihatan selain terhidu bau busuk sekitar kawasan rumah.
“Kita terpaksa pecah masuk dan menemui dua mayat, pasangan suami isteri, yang berbungkus dan ditutupi dengan permaidani serta pakaian, di kawasan dapur rumah itu,” katanya.
Menurutnya, pasangan itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang bengkak dan berbau manakala mayat ketiga dipercayai suspek kes itu pula dalam keadaan masih baru.
Hanyan berkata mayat pasangan ditemui dalam keadaan kepala terputus dan anggota badan yang dipotong dipercayai mahu dilupuskan suspek.
“Selain itu polis turut menemui beberapa senjata tajam dikumpulkan dalam bekas yang dikumpulkan berdekatan mayat ketiga,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kes menjurus kepada perbuatan bunuh dan suspek juga dilaporkan pernah mengalami gangguan mental.
“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan