"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jiran datang nak beraya, rupanya arwah meninggal dunia 3 hari lalu

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video anggota bomba melakukan operasi membuka pintu rumah bagi mengeluarkan mangsa. FOTO tular
TANGKAP layar video anggota bomba melakukan operasi membuka pintu rumah bagi mengeluarkan mangsa. FOTO tular
Melaka: "Saya beri salam dan ketuk pintu, tapi tiada jawapan. Bau memang kurang menyenangkan dan ada langau keluar masuk dari celah bawah pintu rumahnya," kata Supian Abdul Majid, 52.

Semua terjawab apabila jirannya itu ditemui meninggal dunia di dalam rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, semalam.

Menurutnya, dia ke rumah mangsa, Mohd Faizal Abu Bakar,46, di selepas dimaklumkan oleh seorang ahli kariah mengenai 'kehilangan' arwah.

Katanya, sebelum itu rakan mangsa datang ke rumah itu untuk beraya, namun tiada sahutan walaupun sudah beberapa kali memberi salam dan memanggil namanya.

"Mereka kemudian terhidu bau busuk dari dalam rumah selain melihat selipar berada di luar pintu," katanya dihubungi di sini.

Supian yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong berkata, selepas mendapati mangsa tidak menyahut apabila dipanggil namanya dan pintu diketuk, mereka segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.

"Pasukan bomba yang tiba kemudian membuka pintu yang berkunci sebelum menemui mayat arwah di ruang bilik utama. Mayatnya terbaring di atas lantai berhampiran katil," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.18 petang.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk atau pergelutan dan keadaan rumah bersih dan kemas.

"Barangan peribadi si mati juga dalam keadaan baik. Tiada sebarang unsur unsur perbuatan jenayah dikesan.

"Adik mangsa memaklumkan si mati adalah anak sulung dan kali terakhir mereka berjumpa pada Rabu lalu ketika berbuka puasa di rumah ibu di Taman Seri Krubong.

"Ketika itu mangsa yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung kelihatan letih kerana tiada selera makan," katanya memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, mangsa yang dipercayai meninggal dunia lebih tiga hari lalu juga pernah beberapa kali dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana penyakit dialami serta pernah diserang angin ahmar.

"Adik mangsa juga pernah beberapa kali menasihatinya untuk tinggal bersama ibunya atas sebab kesihatan.

"Namun, mangsa yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) enggan kerana mahu tinggal di rumahnya yang baru dibeli kira-kira setahun lalu," katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Tiada ulasan: