Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebahagian daripada lapan kanak-kanak yang ditahan dalam Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0 dikesan menghasilkan sendiri bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) berbentuk animasi sebelum menjualnya secara dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata bahan itu dijual kepada komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama dengan ada antaranya pada harga sekitar RM50 hingga RM60.
"Lapan kanak-kanak itu berusia antara 13 hingga 18 tahun. Selain memuat turun ada juga yang menghasilkan animasi sendiri dan menjualnya.
"Pembelinya dalam kalangan komuniti mereka yang mempunyai kecenderungan terhadap bahan seperti ini," katanya pada sidang media hari ini.
Kumar berkata, komuniti itu terbentuk secara dalam talian dan ahlinya tidak semestinya mengenali antara satu sama lain secara peribadi.
"Mereka yang sudah mengakses bahan berkenaan akan menemukan kumpulan dengan minat dan kecenderungan sama, sekali gus membentuk kelompok kecil dalam talian.
"Mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Ini dalam talian, termasuk menerusi Telegram. Apa yang membimbangkan bukan sangat jumlah harganya, tetapi trend dan hala tujunya. Ini yang perlu kita beri perhatian serius," katanya.
Mengulas bagaimana kanak-kanak itu mempelajari cara menghasilkan bahan berkenaan, Kumar berkata, ia boleh dipelajari melalui pelbagai cara termasuk secara dalam talian, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka mendapat pendedahan daripada individu atau pihak lain.
Dalam operasi sama, lapan kanak-kanak berusia 13 hingga 18 tahun ditahan terdiri tujuh lelaki dan seorang perempuan.
Suspek paling muda kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, namun polis masih menyiasat jumlah bahan CSAM yang dikaitkan dengannya serta tujuan bahan itu dimiliki.
Kumar berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit hanya mengetahui kegiatan berkenaan selepas tangkapan dibuat, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana mereka mula terdedah kepada bahan berkenaan.
Katanya, transaksi bagi penjualan bahan boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk e-dompet, PayPal dan Touch 'n Go.
"Kanak-kanak kita dari sudut penggunaan media sosial jauh lebih mahir berbanding orang dewasa. Itu satu hakikat. Jadi, pemerhatian berterusan perlu dibuat dan perkara ini mesti bermula dari rumah," katanya.
Mengulas tindakan terhadap lapan kanak-kanak itu, Kumar berkata, siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut.
"PDRM turut mempunyai kaunselor bagi membantu kanak-kanak yang berdepan kes sedemikian, namun usaha meningkatkan kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhenti selepas tindakan penguatkuasaan," katanya.
Terdahulu, 53 individu berusia 13 hingga 56 tahun ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September lalu.
Daripada jumlah itu, 52 adalah warga tempatan dan seorang warga Bangladesh, manakala lapan daripada keseluruhan tangkapan adalah kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan