"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persenda Rukun Negara, 3 pelakon teater ditahan

Nur Alif Hazmi

Mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala kes disiasat mengikut Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
this is malaysia theatre
Tangkap layar video memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselangi sindiran serta kenyataan didakwa boleh menyentuh sensitiviti perkauman.
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam pementasan teater didakwa mempersenda Rukun Negara pada 2018.

Ketiga-tiga mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata ketiga-tiga individu itu ditahan di Selangor dan Johor kira-kira tiga hari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Seorang daripada lima pelakon berkenaan telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom.

“Kita tengah kesan orang yang tularkan video itu,” katanya ditemui selepas sidang media di Bukit Aman.

Kumar berkata, pemeriksaan terhadap tiga individu terbabit mendapati tiada rakaman pementasan atau kandungan berkaitan Rukun Negara ditemui dalam telefon, gajet mahupun akaun media sosial mereka.

Katanya, pementasan itu berlangsung secara tertutup di Penang Art Center (PAC), Pulau Pinang pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat berhubung persembahan berkenaan ketika itu.

“Polis masih menyiasat latar belakang kumpulan teater terbabit serta keadaan pementasan ketika itu,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, dilaporkan berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas laporan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak berhubung penularan video berdurasi kira-kira 10 minit itu.

Video itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselangi sindiran serta kenyataan didakwa boleh menyentuh sensitiviti perkauman.

Kumar berkata, polis akan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.

Tiada ulasan: