"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemelut politik Negeri Sembilan perlu ditamatkan segera

Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemelut politik di Negeri Sembilan perlu ditamatkan segera demi kepentingan rakyat susulan ketidaktentuan berpanjangan dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik ProfMadya Dr Azmi Hassan berkata, tumpuan Menteri Besar Datuk Haji Ismail Lasim dan barisan EXCO terhadap pentadbiran serta pelaksanaan agenda kerajaan negeri kini terganggu kerana konflik berkenaan.

"Perhatian pimpinan negeri kini terpaksa 'dialihkan' kepada usaha merungkai dan menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Senario ini secara tidak langsung menyebabkan janji manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, selepas 60 hari pembentukan kerajaan negeri berisiko terbantut apabila Menteri Besar bersama barisan EXCO terpaksa berdepan krisis politik itu.

"Sebab itu kemelut ini perlu dileraikan dan diselesaikan dengan segera,"katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, masalah ini bukan sahaja perlu diselesaikan mengikut institusi keadilan dan perundangan, tetapi peranan pemimpin politik juga penting, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak kerajaan negeri.

"Semua pihak berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing bagi merungkai dan meredakan kemelut berkenaan demi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat kembali memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

"Pada akhirnya, pihak yang akan menderita dan menerima kesan negatif daripada kemelut ini adalah rakyatanya sendiri," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, asas kepada kemelut ituadalah persoalan mengenai siapakah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, sama ada Tunku Mukhriz Tuanku Munawir atau Tunku Nadzaruddin Tuanku Muhriz.

Katanya, pertikaian berkenaan perlu diselesaikan melalui proses perundangan dengan meneliti peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan Perlembagaan negeri.

"Untuk menamatkan krisis ini, ia perlu dirungkai secara perundangan dengan membaca dan meneliti perundangan kerajaan negeri, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan serta Perlembagaan negeri.

"Paling penting, Adat Perpatih yang begitu unik di Negeri Sembilan juga perlu diambil kira," katanya.

Beliau berkata, semua perkara berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh dalam menentukan kedudukan sebenar pihak yang mempunyai hak mengikut kerangka perundangan negeri.

"Perkara itu akhirnya perlu diputuskan melalui proses mahkamah supaya keputusan yang dibuat mempunyai asas perundangan dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.

"Penyelesaian berasas perundangan penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat kembali berjalan dengan lebih lancar, selain memberi kepastian kepada rakyat mengenai kedudukan kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu yang menyaksikan Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, krisis politik di negeri itu memasuki episod baharu apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawirmembatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Memetik kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan, masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dalam kenyataannya berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Tiada ulasan: