"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Mayat remaja dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam semak

Zuliaty Zulkiffli
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika jenazah Allahyarham dimasukkan ke dalam van jenazah di Jabatan Forensik HSB. – Foto NSTP
ALOR SETAR: Mayat seorang remaja dipercayai mangsa bunuh, dengan kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala, ditemui dalam semak berhampiran Jalan Harvard, Gurun, Sungai Petani, hari ini.

Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan berwarna hitam dan kuning oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi.

Ibu Allahyarham, Azura Zor, 41, berkata beliau terkejut apabila anggota polis hadir ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk tujuan pengecaman.

Katanya, pada mulanya beliau menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulung daripada empat beradik itu.

“Saya tidak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp, namun tidak berjawab.

“Kami sudah cuba mencarinya tetapi tidak jumpa sehinggalah polis datang ke rumah, hari ini.

“Polis memberitahu bahawa anak dijumpai terbaring di tepi jalan lokasi kejadian, pagi tadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Azura berkata, keluarganya bagaimanapun tidak membuat laporan polis selepas gagal menghubungi Muhammad Haikal sebelum ini.

Katanya, hubungan beliau dengan arwah tiada sebarang masalah dan remaja itu pernah bekerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.

“Kami terputus hubungan selepas arwah anak keluar dari rumah sejak bulan lalu,” katanya.

Azura berkata, suaminya, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang RM200.

“Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan arwah anak. Namun, kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.

“Arwah memang tiada masalah dengan kami, malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya.

“Kalau betul anak saya dibunuh, saya berharap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB selepas proses bedah siasat selesai kira-kira jam 5.45 petang.

Adik lelaki mangsa yang masih berpakaian sekolah dilihat tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah abangnya di bilik mayat, sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga yang lain.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata satu sidang media akan diadakan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, Ahad ini berhubung kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: