Juwan Riduan

Murid 11 tahun parah dilanggar kereta ketika melintas di laluan pejalan kaki di hadapan SK Darau, Manggatal di Kota Kinabalu. – Foto Polis
KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun parah dilanggar kereta ketika melintas di laluan pejalan kaki di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, di sini.
Dalam kejadian jam 6.10 pagi tadi, mangsa mengalami pendarahan di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Likas dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan Proton Waja dipandu lelaki berusia 69 tahun dari arah pekan Manggatal.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, murid itu sudah mula melintas menggunakan laluan pejalan kaki dari arah kanan ke kiri jalan.
“Bagaimanapun disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar murid terbabit di lorong kanan jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan